Bapa maut, anak kritikal kereta hampir putus rempuh pokok
MUKAH: Seorang nelayan maut, manakala anak perempuannya parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu merempuh pokok di Jalan Orang Kaya Setia Raja petang tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.40 petang menyebabkan kereta jenis Proton Wira dinaiki hampir terputus dua.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang maut disahkan sebagai Hassan Rajak, 51, manakala anak perempuannya Nursyamimi Hasan, 21, cedera parah.
"Hassan yang memandu kereta terbabit disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala termasuk patah tangan dan kaki kiri.
"Anak perempuannya pula dikatakan mengalami kecederaan parah dengan keadaannya dilaporkan kritikal," katanya.
Alexson berkata, siasatan awal mendapati kereta terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh sebatang pokok tepi jalan.
"Impak rempuhan yang cukup kuat menyebabkan kereta dinaiki kedua-dua anak beranak itu hampir terputus dua," katanya mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd

Posting Komentar untuk "Bapa maut, anak kritikal kereta hampir putus rempuh pokok"